Datuk Boy Iman Dan Dua Suspek Utama Ditahan Polis Untuk Bantu Siasatan Kes Penipuan Jualan Rumah

Polis hari ini telah menahan Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman bersama dua lagi suspek utama di Ampang dan Setapak untuk membantu siasatan mengenai penipuan jualan rumah yang mencecah RM6.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebanyak 188 laporan polis diterima berkaitan penipuan tersebut yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Memetik laporan Harian Metro, syarikat-syarikat tersebut menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran sekitar RM60,000 untuk sebuah banglo berkeluasan 1650 kaki persegi.

Namun, selepas bayaran dibuat, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan. Menurutnya lagi, dua pemilik syarikat Juta Kelulut Global Resources turut ditahan.

Polis turut merampas kereta mewah jenis Nissan Fairladydan BMW E92, tiga telefon pintar, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

Pihak polis mendapati sindiket penipuan semakin bijak memanipulasi kehendak dan keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim penipuan serta pelaburan bagi menarik perhatian mangsa.

“Ini dapat dilihat melalui kewujudan pelbagai skim berasaskan perniagaan, emas, perumahan dan seumpamanya.

“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan skim atau tawaran luar biasa yang dibuat oleh mana-mana orang atau syarikat,” katanya.

Menurut Acryl Sani, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan