“Kau Bernasib Baik Iqram! Kalau Tak…. Siku, Kaki, Buku Lima, Semua Kau Boleh Jamah” – Altimet

Penyanti RAP, Altimet mendedahkan nyaris membelasah artis kontroversi, Iqram Dinzly selepas berlaku satu insiden tak dijangka di belakang pentas Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) yang menaikkan kemarahannya.

Bagaimanapun, Altimet memuji kecekapan petugas Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32), yang dapat menghalang Iqram Dinzly, daripada naik ke pentas ketika gilirannya mengadakan persembahan pada malam Ahad lalu.

Katanya, beliau baru dimaklumkan mengenai insiden terbabit dan secara sinis mengatakan, tindakan pantas pihak berkenaan mampu mengelakkan pelakon itu mendapat kecederaan.

“Baru dapat tahu masa #AJL32 hari tu, Che Iqram (Iqram Dinzly) nak naik pentas masa aku buat persembahan. Syabas kepada petugas Media Prima Berhad sebab lindungi dia daripada ‘kecederaan’.

“Ini hip hop, ‘bro’. Kalau tak diundang naik pentas (tetapi) kau naik juga, siku, kaki, buku lima semua kau boleh jamah ‘der’. Adat kami lain sikit,” katanya menerusi Twitter.

Perkongsian penerima trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi itu meraih lebih 600 ‘like’ selain 1,100 ‘retweet’ setakat ini.

Terdahulu, kelibat Iqram turut dilihat menaiki pentas utama ketika pemenang Juara Lagu, Hael Husaini, membawakan kembali lagu Jampi sebelum majlis anugerah itu berakhir.

Pada perkongsian sama, Altimet turut mendedahkan beliau meninggalkan pentas utama ketika itu kerana enggan mengeruhkan keadaan selepas Iqram naik ke pentas meraikan kemenangan Hael.

Difahamkan, tindakan Iqram itu tanpa persetujuan pihak produksi.

BHarian