“Saya Kutip Serpihan Otak Anak Satu-Satu”, Keluarga Pelajar Nafi Kepala Anak Terbelah Dua

“Saya kutip serpihan otak anak yang berterabur di padang sekolah.  Satu-satu saya pungut sampai habis. Dia anak sayakan! Luah Roslan bin Samad, 55 tahun.

Inilah luahan sedih bapa kepada pelajar, Nur Afini Roslan yang maut ketika sedang menjalani raptai sukan sekolahnya di SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan sekitar jam 10.30 pagi dua hari lalu.

Dimaklumkan, bilah mesin pisau pemotong rumput dari traktor yang sedang menjalankan kerja-kerja di padang sekolah berkenaan melayang sejauh 30 meter lalu mengenai tiga orang pelajar. Sedihnya, Nur Afini maut di tempat kejadian manakala dua lagi cedera.

Roslan ditenangkan oleh YB Dato Abdul Razak, ADUN Gemas

Di wajahnya jelas kesedihan yang cukup ketara. Setiap kali ke kubur anak, dia akan menangis pilu. Jiwanya bagai dirobek. Dia sama sekali tidak menyangka, menghantar anak ke empatnya pagi itu, sekitar jam 10.40 pagi, dia mendapat panggilan telefon memaklumkan anaknya ditimpa tragedi.

Berkongsi secara bersemuka dengan Majalah Remaja,  Roslan berkata, selepas mendapat panggilan telefon, dia bergegas menuju ke tempat anaknya terbaring kaku.

“Ketika saya sampai, otak anak sudah ditutup dengan plastik. Mungkin dilakukan pihak lain. Tapi bila terpandangkan serpihan otaknya, saya kutip satu persatu dan letakkan di dalam plastic.

“Luluh hati ini. terus terang saya katakan kalau anak saya masih hidup dan dia cedera ketika itu, pihak yang memotong rumput itu mungkin sudah lama kena tumbuk dengan saya.

“Saya sayangkan anak saya. Saya yang hantar dia setiap hari ke sekolah. Kalau ada latihan sukan, arwah akan maklumkan waktu baliknya dan kemudian saya akan jemput.

“Malah saya jugalah yang pujuk arwah untuk diserapkan ke sukan bagi mewakili Negeri Sembilan berbanding dia mewakili Pahang dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang lalu,” katanya yang sesekali dilihat meraup telapak tangannya.

Kenangan di hari raya tahun lalu. Arwah Nur Afini bertudung pink
Ahli keluarga ini mempersoalkan laporan akhbar dan media sosial yang menyebut kepala arwah anak mereka terbelah dua…

Mengakui “jiwanya” agak terbeban dalam sehari dua ini kerana dikunjungi dan didatangi ramai pihak namun dia akui dia perlu menerima situasi dan tragedi anaknya adalah sesuatu yang telah terjadi.

“Arwah tak mungkin hidup balik. biar banyak saya fikirkan tentang dirinya, masa depannya tetapi semua ini tak akan berulang. Ikutkan saya nak tengok arwah membesar dan seterusnya membina masa depannya. Tapi semua ini tak akan berlaku lagi,’ katanya yang sama sekali sukar menerima kenyataan bahawa kebanyakan akhbar dan media online melaporkan kepala anaknya terbelah dua.

Nafi kepala anak terbelah dua

Jelas ibu arwah, Zalina Mohd Yusof, 48 tahun, dia juga mempersoalkan isu ini. Ikutkan kepala terbelah dua ini ada macam-macam  tafsiran dan pemikiran orang terhadap isu diperkatakan  tetapi pihak keluarga yang melalui semua keadaan sukar ini.

“Apa maksud terbelah dua? Kalau ikutkan, terbelah dua ini terbahagi dua tapi sebenarnya hanya sedikit tempurung kepala anak yang terkena bilah pisau ini,” katanya memaklumkan  hanya tahu kemalangan menimpa anaknya sekitar jam 11pagi selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya, Nor Annisaa, 19 yang menuntut di Matrikulasi Gambang, Kuantan.

Zalina (baju hijau) juga tidak dapat menahan kesedihan berikutan tragedi menimpa anak ke empatnya itu

Dalam pada itu, Roslan yang terawal sampai di lokasi kejadian berkata, memang tempurung kepala anaknya pecah, kira-kira sebesar tapak tangan tetapi tidaklah sampai terbelah dua.

“Keadaan muka arwah elok seeloknya. Mukanya pun sangat bersih semasa kami selesai memandikan jenazahnya. Nampak seperti dalam keadaan tidur. Sangat cantik dan berseri,” katanya.

“Tak akan beri anak lain sekolah di situ…”

Tragedi yang menimpa, bukan sedikit ingatan untuk dipadamkan. Terlalu pahit dan sukar untuk dia menerima berita ini. Jelas Roslan, biar apa pun penambahbaikan dilakukan oleh pihak sekolah selepas tragedi ini, kenangan pahit itu tetap akan ada.

“Saya tak akan sekolahkan anak lelaki bongsu saya di situ lagi. Tu sekolah saya dulu. Semua adik beradik saya sekolah di situ dulu. Nak lalu bawa motor pun tak sanggup lagi selepas peristiwa ini. Biarlah pergi jauh. Kenangan pahit itu ada dan tak akan padam biar selama mana pun,” katanya mengakui dia tidak sempat berborak dengan anaknya pada pagi kejadian.

Dalam tragedi ini Nur Afini ditemui terbaring dan sudah gagal diselamatkan lagi selepas terkena bilah pisau yang terpelanting

Ditanya tentang tindakan kepada pihak kontraktor, buat masa ini Roslan akui dia belum berbincang dengan isterinya, anak-anak serta adik beradiknya tentang saman atau tindakan selanjutnya.

 “Buat masa ini belum fikir lagi. Anak saya pun sudah tak ada. Saya terlalu sayangkannya. Susah nak cakap tentang isu ini,” katanya mengakui sesekali hatinya lemas dengan semua yang mendatang.