Sudah Ditakdirkan Kami Berpisah.Ini Keluhan Kamal Adli Dan Emma Maembong……

KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Kamal Adli bergandingan buat kali ketiga dengan Emma Maembong tidak kesampaian apabila tempatnya digantikan oleh Keith Foo dalam drama Jangan Padam Rindu.

Awalnya, watak utama lelaki bagi drama terbitan Suhan Movies itu dihulurkan kepada pelakon berkenaan, namun berikutan salah faham yang timbul, ia menjadi milik aktor lain.

Mengaku cukup kecewa dengan situasi terbabit, Kamal akur tidak dapat berlakon di sisi teman karibnya dalam naskhah yang diangkat daripada sebuah novel itu.

“Ia bermula dengan masalah susunan jadual hingga berlaku salah faham dengan pihak produksi Suhan. Ketika mendapat tawaran terbabit, pada masa sama saya juga menerima undangan berlakon filem aksi.

“Saya ada memohon budi bicara produksi Suhan supaya menyusun semula jadual penggambaran kerana filem berkenaan awalnya dijangka dimulakan rakamannya pada pertengahan bulan ini.

“Begitupun, tidak mengapa jika permintaan itu tak dapat dipenuhi kerana memang keutamaan saya adalah lebih kepada drama terbabit. Bagaimanapun, permintaan saya tidak dipenuhi dan akhirnya nama saya digugurkan,” katanya.

Dalam keadaan berkenaan, Kamal dilihat kelihatan seperti bersikap tamak, sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

“Nak dijadikan cerita, penggambaran filem pula dianjak ke hujung Oktober.

“Apa yang berlaku itu hanyalah salah faham. Apabila sudah jadi begini, saya anggap ia bukan rezeki,” katanya yang kini giat berlatih sebelum turun ke lokasi penggambaran filem terbabit, yang menggunakan judul Escape buat waktu ini.

Kamal juga sedar, peminat teruja menantikan gandingan terkininya bersama Emma. Namun, nampaknya mereka perlu menunggu lebih lama sebelum kedua-duanya dapat ‘bersatu’ lagi di kaca TV.

Sebelum ini, Kamal dan pelakon yang kencang digosip bercinta dengannya itu pernah membintangi drama Syurga Tanpa Cinta dan Jodoh Sebelah Pintu.

“Saya memang tertunggu-tunggu untuk berlakon dengan Emma. Tapi apakan daya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamal juga akan terbabit dengan program Superspontan, projek Karya 12 berjudul Jongkong arahan Feroz Kadir dan penggambaran travelog, Curi Curi Cuti, yang masih berbaki.