Video: Ramai Orang Di Putrajaya Nak ‘Belasah’ Saya – TMJ

Johor Bahru – Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan setinggi-tingi terima kasih kepada kumpulan NGO yang berkumpul bagi menyatakan sokongan terhadap baginda.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan seluruh rakyat dan bangsa Johor kepada saya.

“Saya tak mahu cakap banyak sangat, sebab ramai orang di Putrajaya nak ‘belasah’ saya” titah baginda ringkas di hadapan kumpulan NGO yang berkumpul di luar istana negeri di Bukit Serene, Johor Bahru petang tadi.

Tunku Ismail turut menjelaskan, baginda adalah merupakan hamba rakyat Johor dan akan sentiasa menegakkan kedaulatan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya akan sentiasa menegakkan kedaulatan negeri Johor jika perlu, demi kedaulatan bangsa Johor dan rakyat Malaysia

“Sebagaimana pesanan dari Yang Maha Mulia, ayahanda saya bahawa saya adalah hamba rakyat Johor” titah baginda lagi.

Bermula dari pukul 4 petang tadi, ratusan penyokong baginda  berkumpul bagi menyatakan bantahan ke atas kenyataan menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Antara yang hadir di dalam perhimpuan tersebut ialah wakil NGO IKRAM, PERKASA dan persatuan kuil Johor.

Kumpulan yang rata-ratanya dari pelbagai kelompok kaum itu turut membawa kain rentang dengan slogan “daulat tuanku” dan turut melaungkan slogan sama.

Ia sebagai tindakan balas kepada Nazri, yang menyelar Tengku Mahkota Johor kerana mengkritik perdana menteri.

Nazri pada hujung minggu lalu memberi amaran kepada putera raja tersebut supaya tidak masuk campur dalam hal ehwal politik jika tidak mahu “dibelasah” oleh kerajaan. – SuaraTV